Wednesday, 31 July 2013

Seimbas lalu.

Pada waktu itu cuaca semakin gelap, jam di tangan menunjukkan pukul 7.15pm. Menandakan waktu berbuka semakin hampir. Dengan tergesa-gesa aku pergi ke foodcourt untuk membeli sepinggan makanan untuk santapan berbuka yang bakal tiba kurang 20 minit lagi.

Selepas selesai mengambil dan membayar juadah berbuka, aku menyinggah ke meja berhadapan kedai photocopy. Mata tidak lekang melihat juadah dan jam di tangan, telinga tidak terlepas dari mendengar perkataan yang disebut oleh pengunjung di situ.

Secara tidak sengaja, mata aku menuju tepat pada seorang pakcik yang sudah lewat usianya. Aku memerhati pakcik itu tanpa sebarang gangguan. Aku terlihat pakcik yang hanya memakai kopiah berkain pelikat dan disarungkan baju t-shirt yang agak usang.

Dalam hati aku menuju pelbagai persoalan, perkataan, dan jawapan tanpa nokhtah. Hati ku sayu melihat pakcik itu setelah melihat dia mengambil pakaian, makanan dan pelbagai alatan makanan di dalam tong sampah. Tong sampah yang menjadi almari baju dia, tong sampah yang menjadi tempat letak makanan dan tong sampah untuk meletakkan alatan dia seperti periuk, cawan, pinggan dan lain-lain.

Timbul satu persoalan dalam fikiran iaitu "Mana anak-anak dia?, tak kesian ke lihat ayah dia macam ni? Takkan la dah berjaya, tinggalkan ayahnya dalam keadaan macam ni?" Sayu di dalam diri mula muncul. 

Keinsafan aku diganggu oleh kawan kerana bertanyakan waktu sekarang. Selepas menjawab pertanyaan dia, terlintas satu situasi di dalam fikiran. "Adakah aku mahu ibu bapa aku dalam keadaan begini? Mahukah aku masuk ke neraka Allah kerana mengabaikan orang tua aku?". Timbul soalan keinsafan dalam pemikiran.

Tidak lama kemudian, jeritan Azan mula berkumandang di Pusat Islam. Dengan melihat juadah di depan mata, aku bersyukur kerana walaupun aku banyak buat salah kepada ibu bapa aku, namun mereka tidak terlepas tangan untuk memberi rezeki kepada aku mahupun anak-anaknya yang lain.



p/s: Kebahagiaan ibu bapa bukan terletak pada harta anaknya, bukan terletak pada kecantikkan anaknya tetapi cukup sekadar dapat membalas budi mereka. Itupun sudah membuat hati mereka gembira dan tenang. 

No comments:

Post a Comment